Jumaat, 18 Januari 2008

Ayam Den Lapeh

dipetik dari blog Nisah Hj Haron(my super duper senior SMKA SHAMS)

Terkenang Leluhur


Beberapa hari yang lalu, seorang blogger mohon supaya saya terjemahkan lirik lagu "Ayam Den Lapeh" ke dalam Bahasa Melayu standard. Terkejut juga dengan permintaan tersebut.

Ya, saya punya leluhur dari tanah Minang. Tetapi, setakat ini, saya masih belum diberi kesempatan menjejaki mereka. (Seperti E-Jay dalam Mencari Locus Standi yang sangat bahagia dengan keluarga Emir Johan, sehingga tidak berasa terpanggil untuk mencari leluhurnya). Abah saya memang orang Minang tetapi apabila berkahwin dengan ibu saya (keturunan Melaka), hilang telor minangnya.

Apatah lagi sebagai anak, saya tidak selalu mendengar abah saya bertutur dengan dialek minang. Jadi, saya tidak berapa menangkap loghat ini sepenuhnya. Sepatah dua tu, ya. Lantas, untuk menterjemah lagu tersebut, saya minta bantuan abah dan berikut adalah hasilnya. Jika ada pembaca yang fasih bercakap dalam dialek minang dan terjumpa sebarang kesilapan terjemahan, silalah betulkan, supaya dapat dimanfaatkan bersama-sama.

Kata orang banyak yang boleh hilang dalam terjemahan (lost in translation). Jadi, untuk memahami pemilihan perkataan dan kisah di sebalik lagu ini, perlu juga ambil tahu latar budaya masyarakat Minang itu sendiri. Ada iktibar yang cuba disampaikan oleh lagu ini. Bukan sekadar cerita seekor ayam yang terlepas terbang. :-)

Lirik Ayam Den Lapeh

Luruihlah jalan Payakumbuah
Babelok jalan Kayu Jati
Dima ati indak karusuah
Ayam den lapeh ai ai… ayam den lapeh

Mandaki jalan Pandaisikek
Basimpang jalan ka Biaro
Di ma ati indak kamaupek
Awak takicuah ai ai… ayam den lapeh

Sikucapang sikucapeh
Saikua tabang saikua lapeh
Tabanglah juo nan karimbo
Oi lah malang juo

Pagaruyuang Batusangka
Tampek bajalan urang baso
Duduak tamanuang tiok sabanta
Oi takana juo ai ai… ayam den lapeh

Den sangko lamang nasi tuai

Kironyo tatumpah kuah gulai
Awak ka pasa alah usai
Oi lah malang denai

O hoi … ayam den lapeh

Lagu "Ayam Den Lapeh" dalam bahasa Melayu standard (perkataan dalam kurungan ialah penerangan saya, setakat pengetahuan saya yang agak terbatas ini) :

Luruslah jalan Payakumbuh (nama tempat)
Berliku jalan Kayu Jati (nama tempat)
Bagaimana hati tidak rusuh (susah hati)
Ayamku terlepas. (secara tersirat bermaksud, hajat yang tidak kesampaian)

Mendaki jalan Pandaisikek (jalan ke tempat bernama Pandaisikek itu curam/mendaki)
Bersimpang siur jalan ke Biaro (juga nama tempat)
Bagaimana hati tidak berkata
Aku tertipu

Sikucapang sikucapeh *
Seekor terbang, seekor terlepas
Terbanglah ke hutan rimba
oh, malang sekali


Pagaruyung Batusangkar (kedua-duanya nama tempat)
Tempat berjalan orang baso **
Sekejap-sekejap duduk termenung
Oi terkenang juga ai ai… ayamku terlepas (buruk pulak bunyi terjemahan ini :-) )

Kusangka nasi tuai itu lemang
Rupanya kuah tertumpah kuah gulai
Saya ke pasar, tapi pasar dah tutup/habis ***
oh, malanglah saya.

O hoi … ayam den lapeh

Sekian, terima kasih.

Untuk lirik lagu-lagu minang yang lain seperti Mudiak Arau, Anak Salido, Buguih Lamo dan banyak lagi, silalah ke laman Lirik Lagu Minang Lamo.
Kalau mahu download lagu oleh penyanyi asalnya Oslan Hussein boleh ambil di sini :

Nota tambahan :

Selepas bincang-bincang lagi dengan abah saya, berikut ada sedikit penambahan yang boleh dikongsi bersama :

* Sikucapang sikucapeh = gambaran usaha yang dijalankan tetapi tidak berhasil.

** Baso = satu wilayah kecil di Minangkabau

*** Awak ka pasa alah usai = gambaran pergi ke pekan sari / tamu, tetapi aktiviti jual beli sudah berakhir.

Tiada ulasan: